CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday 31 August 2008

Setahun di perantauan



Lembaran baru perjalanan hidup


Tanggal 070707 yang lalu, genaplah setahun kami di perantauan.Begitu cepat waktu berlalu, namun ada ketikanya bila mengenangkan keluarga terutama abah, emak, adik beradik, sanak saudara dan rakan taulan yang ditinggalkan, terasa jam tidak berdetik.Begitu lambat masa berlalu, lama lagi akan bertemu.....hanya waktu yang menentukan.....






Seminggu sebelum berangkat ke UK, sempat ke Melaka Bandaraya bersejarah



Mengimbas kembali saat-saat mahu meninggalkan tanahair tercinta, boleh dikatakan sebulan sebelum berangkat, kami sudah memulakan persiapan.Shopping sana sini membeli barang keperluan terutamanya pakaian yang sesuai di pakai dengan cuaca di UK.Dalam pada itu sempat juga kami membawa anak-anak berkunjung ke tempat-tempat yang belum kami lawati, ke Melaka,KL Tower,Tugu Negara dan Eye-On Malaysia.Dalam pada itu,suamiku cuba memanfaatkan waktu yang cuma sedetik untuk mencari bahan-bahan bagi penulisannya.Urusan packing barang rasa-rasanya nak disiapkan di minggu terakhir sebelum berangkat.Ditakdirkan sehari sebelum berangkat suamiku ditimpa kemalangan.Alhamdulillah hanya cedera ringan tapi pergerakannya agak terbatas.Aku pula sejak seminggu dua sebelum berangkat sering sakit-sakit kepala dan keletihan.Bila buat checkup, rupa-rupanya aku disahkan pregnant. Alhamdulillah rezeki yang ditunggu-tunggu sebab sebelum itu aku keguguran.Jadi berkemaslah aku mana yang terdaya, sehingga hari terakhir bila keluargaku sampai dari kampung merekalah yang menyudahkan semuanya. Keluarga sebelah suamiku pula terus ke KLIA dari Gombak,Selangor.







Bersama keluarga Gombak di KLIA, sebelum berangkat ke UK





Sebahagian daripada keluarga Gesir




Penerbangan kami dijadualkan pada hari Khamis 060707 jam 11.55 malam dan tiba di Amsterdam pada 070707, jam 06.35 pagi ,perjalanan yang mengambil masa selama 12 jam 40 minit.Risau juga sebelum tu takut puteri-puteriku kebosanan dalam flight, tapi Alhamdulillah kami dapat tempat duduk yang selesa dan mereka beradu lena.Aku pula mungkin kerana keletihan berkemas diminggu-minggu terakhir maka waktu yang lama itu aku manfaatkan untuk berehat.Transit di Amsterdam lebih kurang 00jam,Destinasi seterusnya ialah Cardiff.Penerbangan dijadualkan jam 10.05 pagi dan sampai di Cardiff jam 10.25 pagi.Penerbangan mengambil masa 1 jam 20 minit, tidak boleh dihitung dengan masa yang tertera lantaran waktu yang berbeza.



Sampai di Cardif, risau juga sebab rakan yang berjanji untuk menjemput kami tidak kelihatan.Suamiku cuba untuk menghubunginya dan Alhamdulillah tidak lama kemudian beliau muncul di Cardiff Airport.Destinasi seterusnya ialah Lampeter, di mana terletaknya Universiti tempat dimana suamiku mendaftarkan diri sebagai student ph.d.Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam lebih dengan menaiki kereta.Mula-mula kami merentasi lebuhraya M4, ok lagi,tetapi setelah melalui bandar Carmarthen untuk ke Lampeter, aduh...terasa lamanya nak sampai....mungkin kerana keadaan jalan yang berselekoh-selekoh, macam nak pergi Cameron Highland.Pemandangannya pula di kiri kanan jalan hanya padang ragut yang berbukit bukau dan kambing-kambing wales...Tergambar macammana bersihnya udara di sini....dengan pemandangan yang menghijau di sana sini.




Pencarian rumah sewa




Sampai di Lampeter, kami menumpang di rumah Ustaz Zuhdi Marzuki dan kak Seri, sementara mencari rumah sewa di sekitar Lampeter.Rumah beliau terletak berhadapan dengan sekolah rendah tempat dimana puteri-puteriku akan mendaftarkan diri sebagai pelajar.Bermulalah hari untuk menyesuaikan diri di bumi Wales. Seterusnya kami mula mencari-cari rumah sewa.Sebenarnya pencarian ini sudah bermula sebelum kami sampai lagi oleh rakan-rakan di Lampeter,setelah 2 minggu pencarian rumah masih tidak berhasil Ustaz Tarmizi dan kak Na pula mengajak kami ke rumahnya.2 minggu pula kami berteduh di rumah mereka, dan kembali semula ke rumah Ustaz Zuhdi. Dalam pada itu kami terus mencari dan mencari, tapi kebetulan masa kami datang terlalu sukar rasanya untuk mendapatkan rumah sewa. Bukannya memilih tapi memang tak ada. Akhirnya setelah sebulan lebih bermaustautin di rumah rakan barulah berhasil mendapatkan rumah sewa. Rumah flat atas kedai dengan satu bilik. Memang agak kurang selesa tetapi itu bukan perkiraannya. Atas kepayahan yang ditempuh oleh kami dan rakan-rakan cukuplah ada tempat untuk berteduh biar sekecil mana pun sementara mendapatkan rumah yang lebih selesa. Rumah tersebut dimiliki oleh Alan & Veronica.Kebetulan rumah atas pun kosong, maka kami tempahkan untuk Ustaz Kamaruzzaman dan Mimi yang akan sampai pada bulan 10 nanti. Kami berpindah ke rumah tersebut pada 18 Ogos 2007.




Kepada Ustaz Zuhdi dan Ustaz Tarmizi sekeluarga, terima kasih yang tak terhingga kerana sudi menumpangkan kami sekeluarga sehingga berhasil mendapatkan rumah sewa.Tambahan pula aku tidak banyak dapat membantu kerana "morning sickness"ku.Tak terbalas rasanya layanan dan jasa baik kalian. Jazakumullahu khairan kathira....hanya Allah yang mampu membalasnya.




Rumah Flat dan ceritanya







Rumah flat kami, atas kedai Dai's Dinner

Maka bermulalah kehidupan kami di rumah sendiri. Cuba menyesuaikan diri seadanya. Kebetulan waktu itu cuti sekolah, peluang bagi puteri-puteriku bergaul bersama rakan-rakan semalaysia. Sekolah bermula bulan September 2007, di sekolah baru, bukan lagi di hadapan rumah Ustaz Zuhdi.Rumah kami (Flat 1, 11 Bridge street,Lampeter), terletak di jalan utama bandar Lampeter, berdekatan dengan Lyod Pharmacy dan NHS, dan berhampiran dengan pintu belakang University. Bayaran sewanya GBP 390 sebulan.




Kedudukan rumah yang terletak di tengah bandar Lampeter memudahkan urusan kami ke mana-mana.Untuk ke pasaraya Somerfield atau lot-lot kedai, ke universiti, masjid, sekolah, bank, klinik atau ke mana saja hanya dengan berjalan kaki, tidak perlu menaiki kereta. Itu kelebihannya. Tetapi bila memikirkan rumah yang cuma ada satu bilik sahaja, rasa-rasanya tidak lama kami di rumah ini.Memandangkan kedatangan kami sekeluarga ke bumi wales ini bagi membolehkan suamiku menyambung pengajiannya ke peringkat ph.d, maka bagiku keselesaannya untuk belajar menjadi keutamaan. Biar terpaksa berkongsi bilik dengan anak-anak asalkan ada bilik khas buatnya untuk belajar.Di rumah ini ,kerana tiada pilihan meja study dan buku-buku terpaksa di tempatkan di ruang tamu dan kami berkongsi bilik dengan anak-anak. Banyak juga kenangan yang ditinggalkan di rumah ini. Masa kehamilan cahayamata ketigaku sehinggalah kelahirannya di Hospital Aberyswth, banyak dihabiskan di rumah ini.Puasa , Hari raya pertama kami di perantauan dan pengembaraan kami ke Kota London buat pertama kali juga semasa kami berada di rumah ini.




Rumah baru, Llysmeddyg, Victoria Terrace





Rumah sewa sekarang



Akhirnya setelah 9 bulan bermaustautin di rumah flat, Alhamdulillah, rezeki yang tidak di sangka-sangka. Seorang rakan dan keluarganya mahu berpindah ke Swansea. Rumah mereka besar dan selesa. Atas kekosongan rumah tersebut memberi ruang buat aku dan suamiku berurusan dengan ownernya untuk memilikinya sebagai rumah sewa. Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan ALLAH, rumah tersebut dikosongkan hujung bulan March, dan kami bersetuju untuk pindah masuk pada 1 Mei 2008.Sebulan diperlukan oleh tuan rumah bagi urusan renovation dan clearance. Rumah banglo dengan halaman yang luas, 3 bilik tidur, 2 bilik air, ruang tamu dan dapur yang selesa, mempunyai rumah kaca atau conservatory, dan reka bentuk dalaman rumah seakan rumah yang terdapat di Malaysia. Ini kerana atas faktor cuaca yang sejuk di sini kebanyakan rumah berkotak-kotak (bilik-bilik), yang mempunyai pintu setiap satu dan ruang masuk yang agak sempit, memandangkan rumah sedemikian boleh memanaskan suhu dalaman rumah.Agak berbeza dengan rumah baru yang kami duduki. Sewa rumahnya dinaikkan sedikit dari GBP 365 ( sewaktu rakan menyewakannya), kepada GBP 400, namun dengan keadaan rumah yang selesa harga tersebut memang murah dibandingkan dengan bayaran sewa setempat. Rumahnya masih dikira dalam kawasan bandar tetapi agak jauh sedikit.Masih boleh berjalan kaki untuk ke mana-mana, tetapi lebih dekat dengan sekolah dan bersebelahan dengan balai bomba.


Urusan pindah memindah di sini memang mudah. Semua warga Malaysia sedia membantu. Dalam masa satu ke dua jam semua barang sudah berpindah tempat. Urusan susun menyusun pula memang mengambil masa, tambah pula bagi orang yang mempunyai anak kecil seperti aku.Atas pertolongan suami,Alhamdulillah, semua urusan mengemas selesai dalam beberapa hari. Maka pada 8 Mei 2007,Kebetulan malam jumaat kami menjemput semua warga Lampeter Untuk bacaan Yassin dan Kenduri doa selamat sempena berpindah ke rumah baru.


Awal bulan Mei kami berpindah, hujung bulannya pula kami ke Kota London untuk kedua kalinya.Pemergian kali ini atas urusan pasport untuk sikecil.Balik dari London hari khamis, hari sabtunya sekali lagi kami mengadakan kenduri untuk warga Lampeter.Kebetulan keesokan harinya Ustaz Razali dan Kak Naha sekeluarga akan balik ke Malaysia untuk tempoh 3 bulan. Maka perjumpaan tersebut kami manfaatkan seadanya.



7 Julai 2008, genaplah setahun kami di bumi Wales. Pada hari tersebut Kami ke Cardiff semula.Bukan sahaja untuk mengimbas kenangan setahun lalu, sewaktu mula-mula sampai di Cardiff airport, tapi juga untuk menjemput rakanku sekeluarga yang baru sampai dari Malaysia kerana suaminya menyambung pengajiannya di peringkat ph.d. Sama seperti aku....



Kami mempelawa mereka untuk tinggal sementara di rumah kami. Mulanya mereka enggan lantaran telah ada rumah sewa yang ditempah oleh warga Lampeter buat mereka, tetapi memandangkan masih keletihan dan keperluan rumah yang masih belum mencukupi aku yakinkan mereka untuk bermalam di rumah kami terlebih dahulu dan mereka bersetuju. Setelah seminggu di rumah kami, mereka berpindah ke rumah sewa mereka. Kami membantu sekadar terdaya...Giliran kami pula berbakti pada keluarga yang baru sampai. Cuma bezanya pencarian rumah sewa waktu ini tidak sesukar setahun yang lalu.......



Kehidupan di sini pun semakin stabil, Alhamdulillah dengan penuh kekuatan akan kami harungi hidup di perantauan ini. Demi Ilmu Allah yang tak terhitung............semakin banyak dicari, semakin banyak yang tidak kita mengerti. Wallahu a'lam.